Tuesday, June 21, 2011

:: Mendidik Anak Dengan Naluri Kasih Sayang ::

Bismillahwalhamdulillah..

Saya tertarik dengan artikel di iluvislam.com berkenaan dengan didikan anak dengan kasih sayang oleh Ustaz Fathi Yusuf.

Artikel yang mungkin dapat menjadi rujukan dan sumber kepada ibu bapa dan bakal ibu bapa.
Sempat saya sertakan antara isi kandungan artikel tersebut.


Dalam konteks pendidikan, naluri kasih sayang ini dapat berperanan dalam tiga keadaan iaitu:

Pertama, Allah menjadikan naluri kasih sayang ini agar manusia menjadikan usaha mendidik anak itu satu yang menyeronokkan. Sambil girang menimang anak si bapa boleh menyelitkan acah-acahnya dengan unsur tarbiyah. Sambil leka mendodoinya, si ibu boleh mengalunkan lagu-lagu yang membangkitkan jiwa, iman dan semangat juang. Sambil seronok bergurau senda, bertempuk tampar, si ibu dan ayah boleh melatih mereka erti kerjasama dan mementing diri, erti timbang rasa dan keegoan, erti ketaatan dan keengkaran, erti sopan dan biadap, serta erti dosa dan pahala. Sambil bahagia bersiar-siar dan berkelah, anak-anak boleh diajar soal-soal ketuhanan, tatacara ibadah, keluhuran akhlak dan teknik bermasyarakat. Ringkasnya, segenap aktiviti yang menyeronokkan itu boleh berubah wajahnya menjadi medan tarbiyyah insaniyah.

Kedua, naluri kasih sayang mencipta ketabahan dan kegigihan mendidik buat ibu dan bapa. Kadang-kadang ibu dan bapa terasa letih mendidik anak. Nasihat demi nasihat. Pesanan demi pesanan. Teguran demi teguran. Tapi anak tetap tidak endahkan. Di sinilah perlunya ibu bapa mengubah naluri kasih sayang tadi kepada kesabaran dan kegigihan yang tidak kunjung henti. Pandanglah air muka anak-anak. Belai mereka ketika berkomunikasi. Luahkan rasa sayang dan harapan. Teruskan usaha tarbiyah itu secara berterusan dengan penuh kesabaran.

Ketiga, fitrah kasih sayang dalam jiwa manusia juga mendorong pengorbanan luar biasa si ibu dan bapa terhadap anak-anak. Pengorbanan yang lahir dari kasih yang ini dapat membina momentum semangat dalam mendidik anak. Bagi si ibu dan bapa, biarlah masa, kudrat empat kerat, wang mencurah-curah, bahkan nyawa dikorbankan, asalkan anak-anak menjadi manusia yang berjaya. Bahkan sejuta keperitan dan penderitaan mampu diharungi dengan tabah semata-mata untuk membesarkan dan mendidik anak. Allah s.w.t. tentunya tidak akan membiarkan hambanya begitu sahaja. Allah menjamin rahmatnya kepada ibu dan bapa yang mengasihi dan merahmati anak-anaknya.

Jika ingin baca lebih lanjut tentang artikel tersebut, boleh ke link ini

p/s : mendidik anak cara Rasulullah..



No comments: