Thursday, August 28, 2008

CINTA MUHAMMAD & KHADIJAH...



MEREKA berdua duduk di rumah Khadijah mendengar Abu Talib menyebut-nyebut keluhuran akhlak Muhammad.


“Muhammad ini cukup istimewa sehingga aku lebih mengasihinya lebih dari aku mengasihi anak-anak kandungku sendiri. Dalam matanya ada sesuatu yang menyebabkan aku yakin setiap katanya, aku segani setiap perbuatannya. Jiwanya tenang ditengah-tengah amukan anak muda dan masyarkat. Kedatanganku ini untuk bertanya, adakah masih perlu pemuda untuk menguruskan perdaganganmu?”


Maisarah gembira. Khadijah juga tersimpuh tenang. Tidak sabar mahu bertemu pemuda berusia 23 tahun itu.


Abu Talib menyambung lagi, “Wahai Khadijah, Puan memberi gaji 2 bakras kepada Si Pulan dan Si Pulan. Jika Muhammad ini diambil bekerja, tidak perlulah digajinya sampai 4 bakras.”


Sekali lagi Khadijah memandang Maisarah. Maisarah mengangguk dari awal-awal. Bahu Khadijah segera dipegang. Senyum dan senyum. Khadijah sendiri nampak tidak menolak permintaan mulia Abu Talib itu.


“Jika sekiranya Engkau meminta aku mengambil seorang hamba atau pemuda asing sekalipun akan aku ambil, inikan pula seorang pemuda istimewa yang dekat dan lebih Engkau kasihi daripada dirimu sendiri.”


AlhamduliLlah. Sesungguhnya peluang pekerjaan ini adalah rezeki Allah s.w.t kepadamu, wahai Ayahku”


Muhammad memeluk tubuh tua itu. Segera dikucup dahi orang tua itu. Banyak pengorbanan
orang tua itu sejak baginda tidak beribu tidak berbapa.


“Aku tidak kaya dan kehidupan kita juga tidaklah senang. Tapi aku cukup bahagia selagi Engkau yang mulia dan istimewa ini dikurnia Allah dalam kehidupanku.


Perjalanan Muhammad ditemani Maisarah. Dalam perjalanan tersebut, Maisarah cukup menjaga diri Muhammad kerana itulah yang selalu basah di mulut Abu Talib sebelum mereka berangkat.


Dalam perjalanan ke Syam, mereke melintasi Madian dan Thamut. Muhammad sendiri tidak tahu bagaimana kota agong itu telah menyembah bumi.


Mereka melatari kawasan sungai yang bersih, kawasan tumbuhan menghijau. Tidak sama dengan Makkah yang gersang dan kontang. Suatu pengalaman yang cukup istimewa sedang disusun Allah s.w.t untuk tarbiyyah kekasih-Nya (Muhammad s.a.w).


Perniagaan dilakukan dengan penuh jujur dan tekun. Maisarah melihat betapa luhurnya Rasulullah dalam timbangan, jual beli serta tawar-menawar. Untung penting dalam kamus perniagaan Muhammad, namun persaudaraan sesama manusia jauh lebih penting.


Peniagaan Khadijah mendapat untung yang banyak, tidak seperti biasa.


Ketika melintasi al-Zahran, Maisarah memegang pundak Muhammad. Beliau senyum dan tentu Rasulullah s.a.w juga mengukir senyuman.


“Wahai Muhammad! Pergilah bertemu Khadijah terlebih dahulu. Beritahulah kepadanya apa yang ditakdirkan Allah ke atas perniagaannya melalui tangan mulia-mu. Tentu Khadijah yang luhur budinya itu akan bersyukur atas perniagaannya dan atas pertemuannya dengan kamu.”


Muhammad mengangguk dan terus menuju ke serambi rumah Khadijah. Kesan musafir masih ketara pada batang tubuhnya. Namun, amanah berniaga patut lebih diutamakan dari kesenangan diri.


Khadijah menyambut Muhammad. Sederhana, tetapi cukup mesra.


Muhammad mulai menceritakan pengalaman berjalan dengan Maisarah. Beliau menceritakan perkara yang menarik dan ajaib sepanjang perjalanan tersebut.


Khadijah tersimpuh tenang. Setiap bait kata Muhammad tekun didengarinya. Tenang apabila melihat bibir merah itu. Kata-katanya cukup lunak, bukan dibuat-buat. Kebenaran dan keluhuran gah tersemat.


Wajah mulia Muhammad cermat dalam fikirannya. Muka Muhammad putih kemerah-merahan. Anak matanya jernih dan hitam. Rambutnya juga hitam dan kemas. Berjanggut dan mempunyai bulu mata yang panjang dan lebat.


Entah mengapa apabila bersua dan mendakati pemuda itu, ketenangan hati seolah-oleh memiliki dunia dan seisinya.


Apabila melihat diri Muhammad, tiba-tiba berasa Muhammad ini cukup istimewa. Seolah-olah jodohnya sudah bersalam taqdir Tuhan yang Maha Mengetahui dan Esa.


Cerita Rasulullah telah mula singgah dalam hati kecil Khadijah. Tersentuh dan cukup tenang. Pengalaman berkongsi hidup dengan bekas suaminya sebelum ini sudah tentu menjadi pendoman pada Khadijah ketika menempuhi saat-saat indah itu.


Khadijah pasti, ini bukan emosi nafsu. Tapi, cinta yang luhur dan suci. Isi hati yang baru bersarang itu disampaikan kepada teman baiknya, Nafisah. Semoga isi hati ini sampai dengan penuh tertib kepada Muhammad akhirnya.


“Wahai Muhammad, mengapakah Engkau tidak berkahwin?”


“Aku tidak ada pilihan.”


“Andainya Engkau mempunyai pilihan, mahukah Engkau menolak kecantikan, kekayaan dan kehormatan?”


Muhammad mulai mengerut dahi. Pertanyaan Nafisah mula disimpulkan sebagai hajat yang sungguh. Malu. Segan. Tertanya-tanya. Tenang. Macam-macam perasaan sedang menyelubungi hati mulia Muhammad.


Wajah Nafisah disingkapnya. Nampak, bersungguh dan bukan main-main. Memang ada yang mahu disampaikan kepada Muhammad.


“Tapi…siapa pula wanita itu, wahai Nafisah?”


“Ya..Khadijah namanya.”


Muhammad terkejut. Khadijah ini bukan sebarangan orang. Khadijah ini hartawan hasil harta peninggalan ayahnya serta suaminya. Keluhuran budinya telah menggamit perhatian banyak jejaka. Semuanya ditolak dengan penuh sopan dan tertib.

Muhammad sebelum ini telah mula mesra dengan Khadijah, tetapi sebagai pekerja dengan
majikannya. Tidak terlintas langsung dalam benak qudusnya, bahawa Khadijah menyimpa cita-cita dan cinta seteguh itu kepada Muhammad.


Agak lama Muhammad berdiam diri. Akhirnya, Muhmmad bersetuju dan tarikh pernikahan mulai disusun. Muhammad ditemani Bapa Saudara yang paling dikasihinya, Abu Talib pergi ke rumah Khadijah. Keluarga besar Khadijah juga ada. Abu Talib membaca Khutbah Nikah dan pernikahan selamat dengan mas kahwin 20 bakras menurut adat orang Arab pada masa itu.


Kesunyian hidup Muhammad sebagai yatim piatu di masa kecil diisi oleh Khadijah. Muhammad berusia 25 tahun dan Khadijah berusia 40 tahun. Ketenangan hati Muhammad telah jatuh dan mengikat hati lunak Khadijah. Mereka bahagia.


Diri Khadijah sangat bererti dalam kamus perjuangan Muhammad kemudian hari. Khadijah bukan sahaja isteri, ibu kepada empat anak Muhammad sahaja, malah Khadijah adalah teman yang cukup intim di kala Muhammad dirundung kesedihan dalam perjuangan.


Ketika Muhammad bergembira, Khadijahlah yang mula-mula mengukir senyuman syukur. Ketika Nabi gundah gulana, tangan lunak Khadijahlah mengusap dada sasa Muhammad.


Khadijah senantiasa berlapang dada biarpun Muhammad mulai mengasing diri. Muhammad diam dan senantiasa melihat masyarakat dalam pandangan simpati. Jahil. Melampau. Tidak kenal Tuhan. Zalim. Itulah watak masyarakat dan itulah membuatkan Muhammad berfikir panjang.


Gua Hira’ menjadi peneman. Khadijah penawar. Senyumannya mampu mengubat luka ummat dalam benak lunak Muhammad.


“Bertenang…Allah tidak akan menganiayai manusia istimewa sepertimu!”


Wajah nabi penuh ketakutan. Tidak seperti biasa-biasa. Khadijah segera menyambut. Ditenangkannya atas katil. Muhammad menggigil selepas pulang dari Gua Hira’. Cepat-cepat Khadijah menyelimutinya.


“Selimuti aku, selimuti aku, selimuti aku..”


Khadijah cemas. Takut kehilangan kekasih agongnya, Muhammad.


Selepas reda, Muhammad mendekati Khadijah. Ditatap kasih wajah perempuan itu. Anak rambut yang kadang-kadang menjelur di muka dahi dikemaskan. Ada sesuatu yang mahu disampaikan.


Khadijah juga biasa dengan sentuhan kasih Muhammad. Muhammad selalu diribanya. Dan wajahnya selalu ditangan Muhammad. Cukup mesra dalam dakapan kasih. Cukup bahagia dalam pelukan iman.


“Wahai Khadijah, apakah yang telah berlaku ke atas diriku ini?”


Khadijah tenang melihat perubahan emosi Suami yang paling dicintainya itu. Khadijah yakin,
suaminya sedang menempuhi sesuai yang lebih istimewa.


Dalam perasaan serba risau, Muhammad tidur dalam dakapan kasih Khadijah. Khadijah tatap wajah mulia itu. Segala episod pertemuan mereka dan kasih muhammad masih segar dalam ingatannya. Seolah-olah baru baru semalam mereka diikat nikahkan dan hari ini sudah bergelar teman, isteri dan tulang belakang perjuangan Muhammad.


Dalam keasyikan tersebut, Khadijah perlahan-lahan meletakkan pundak dan kepala suami yang paling dikasihinya di atas katil. Perlahan-lahan Khadijah menapak keluar rumah. Mahu pertemu sepupunya.


Waraqah bin Naufal mengerut dahi. Dia betul-betul cermat mendengar khabar yang luar biasa dari sepupu yang paling dikasihinya, Khadijah. Perlahan-lahan Dia bangun. Menyelak lembaran-lembaran lama yang masih suci dan qudus itu. Sekali sekala dia duduk semula memikirkan setiap tempuhan pengalaman Suami Khadijah itu.


“SubhanaLlah. Demi Dia yang menguasai seluruh jiwa Waraqah! Percayailah aku wahai Khadijah! Sesungguhnya yang mendatangi Suamimu Muhammad itu adalah suatu roh suci yang pernah mendatangi Nabi Musa a.s dahulu. Muhammad itu nabi kaum (ummat) ini, maka beritahulah kepada Muhammad supaya berpegang tegung kepada-Nya. Dia akan didustakan, dizalimi dengan penuh kejam hatta akan diperangi. Jika sekiranya aku masih hidup lagi (pada waktu tersebut), pasti aku akan membantunya (perjuangan Muhammad s.a.w).”


Mata Waraqah mulai berkaca. Mengenangkan episod perjuangan yang pernah ditempuhi Nabi Musa a.s. dan merenung masa depan ummah yang bakal menyaksikan sekali lagi perjuangan suci Nabi Muhammad s.a.w.


Khadijah mendongak ke langit. Perasaan yang berbolak balik dalam dirinya mulai menemukan jalan pasti. Muhammad memang istimewa. Sebelum dilantik Tuhan dan sebelum bergelar kekasihnya, sudah dilihat keistimewaan (nubuwwah) tersebut. Mustahil ‘yang terpuji’ seperti Suami yang paling dikasihinya itu diabaikan rahmat Tuhan.


Mengalir air mata kesyukuran. Bertambah kasih dan cinta kepada Muhammad. Cinta seorang isteri kepada Suaminya telah diangkat menjadi cinta agong seorang ummat kepada Rasul-Nya.


Khadijah segera pula untuk mendapatkan Suami yang paling dikasihinya. Apabila sampai dirumah, Muhammad s.a.w masih nyenyak tidur.


Khadijah menatap wajah mulia itu. Cintanya memang mendalam sehingga tidak mengenal usia dan status kedudukan. Cintanya memang kudus sehingga menjadi sumbu perjuangan dalam kehidupan Muhammad sebelum ini; tentu juga selepas bergeral Khatamul Ambiya’.


Dalam keasyikan menikmati wajah mulia Suami yang paling dikasihinya itu, perasaan Khadijah sekali lagi direntap. Muhammad s.a.w tiba-tiba terkejut dan bangun dengan penuh menggigil. Seolah-oleh sedang menerima sesuatu daripada yang Maha Besar!


Menggigil seolah sedang melihat sesuatu yang tentu sekali tidak pernah dilihat oleh manusia biasa.

Wahai Orang yang berselimut! Bangunlah, lalu berilah peringatan dan Tuhanmu agongkanlah, Dan pakaianmu bersihkanlah, dan perbuatan dosa tinggalkanlah, dan janganlah kamu memberi (dengan maksud) memperoleh (balasan) yang lebih banyak, dan untuk (memenuhi perintah) Tuhanmu, bersabarlah…” (mafhum Surah al-Muddhathir: 1-7)


Cerita pertemuan kedua Muhammad dengan Malaikat Jibril itu telah disampaikan kepada Khadijah. Khadijah bertambah yakin bahawa memang Muhammad ini adalah Pesuruh Allah dan bakal melaksanakan tugas-tugas Rasul terdahulu sebagaimana yang dikhabarkan oleh Waraqah bin Naufal itu.


Khadijah tidak tahu apa yang patut dilakukannya. Tetapi, hatinya mulai menronta-ronta untuk menjadi pembantu yang thabat dalam perjuangan Pesuruh Allah itu.


“Wahai kekasihku yang paling dikasihi, berbaringlah dan rehatlah, sesungguhnya Tuhan sama sekali tidak mengabaikan kebaikanmu”


“Tidak wahai Khadijah! Sesungguhnya masa untuk tidur lena telah tiada. (Malaikat) Jibril a.s telah memerintahkan aku supaya memberi peringatan kepada manusia dan menyeru mereka supaya kembali kepada Allah; tetapi siapakah yang patut aku seru? Dan Siapa pula yang ingin menyahur seruanku itu?”


Dalam perasaan takut kepada Allah, Nabi Muhammad s.a.w bersuara. Nampak as-Siddiq dan at-Tabligh dalam setiap pengucapan itu.


Berkongsi hidup lebih 17 tahun dengan Nabi Muhammad s.a.w menjadi bekalan buat Khadijah. Khadijah tahu betapa berat tugas Nubuwwah yang sedang dipikul atas pundah Suami yang paling dikasihinya.


Atas kesedaran itu juga, Khadijah sedaya upaya menjadi isteri yang menenangkan, pengikut yang beriltizam dan teman intim dalam perjuangannya.

Asyhadualla ilaha illaLlah wa annaka Muhammadan arRasulullah”.


Nabi tersenyum. Nampak wajah kasih dan Cinta itu bertambah subur!


Khadijah juga senyum. Mengambil tangan mulia itu dan segera diletak atas kulit mukanya. Tenang. Kasih. Cinta. Berjuang fi SabiliLlah. Khadijah menjadi manusia/umat RasuluLlah pertama memeluk Islam, wanita pertama menyertai dakwah Islamiyyah.


sumber : http://zainulfaqar.wordpress.com/

Wednesday, August 27, 2008

MaraH...


Ada seorang pemuda yang sangat pemarah. Dia tidak dapat mengawal kemarahannya walaupun ianya hanya satu masalah kecil sahaja. Pada suatu hari, bapanya telah menghadiahkannya dengan seguni paku. "Untuk apakah paku-paku ini ayah?" tanya pemuda tersebut. "Setiap kali kamu marah, kamu pakulah tembok batu di hadapan rumah kita ini, bagi melepaskan kemarahan mu" jawab ayahnya. Pada hari yang pertama sahaja, pemuda itu telah memaku sebanyak 37 batang paku pada tembok batu tersebut. Selepas beberapa minggu, setelah dia dapat mengurangkan kemarahannya, jumlah paku yang digunakan juga berkurangan. Dia mendapati, adalah lebih mudah mengawal kemarahannya dari memukul paku menembusi tembok batu tersebut. Akhirnya tibalah pada suatu hari, dimana pemuda tersebut tidak marah, walau sekali pun. Dia pun memberitahu ayahnya mengenai perkara tersebut dengan gembira. Bapanya mengucapkan tahniah dan menyuruh dia mencabut kembali paku itu satu persatu, pada setiap hari yang ia lalui tanpa kemarahan. Hari berganti hari, dan akhirnya dia berjaya mencabut kesemua paku-paku tersebut. Pemuda tersebut lantas memberitahu perkara tersebut kepada bapanya dengan bangganya. Bapanya lantas memimpin tangannya ke tembok tersebut dan berkata "Kau telah melakukannya dengan baik, anakku, tetapi lihatlah kesan lubang-lubang di tembok batu tersebut, tembok itu tidak akan kelihatan sama lagi seperti sebelumnya. Bila kau menyatakan sesuatu atau melakukan sesuatu ketika marah, ianya akan meninggalkan kesan parut dan luka, sama seperti ini. Kau boleh menikam seseorang dengan pisau dan membunuhnya. Tetapi ingatlah, tak kesah berapa kali kau memohon maaf dan menyesal atas perbuatam mu, namun lukanya masih tetap ada. Luka di hati adalah lebih pedih dari luka fizikal. Sahabat adalah permata yang sukar dicari. Mereka membuatkan kamu ketawa dan menggalakan mu ke arah kejayaan. Sahabat juga adalah seorang pendengar, berkongsi suka dan duka dan sentiasa membuka hatinya kepada kita.


Maafkan saya sekiranya saya pernah meninggalkan kesan berlubang di dinding hati anda.....

Friday, August 15, 2008

RINDU PADA MU


Tiada sehari yang berlalu
Tanpa ku mengingati Mu
Rindu pada Mu
Sentiasa mendambakan Kasih dan sayang Mu
Semalam aku bermimpi
Dalam hujan ku berlari
Berlari mencari
Memangil-manggil nama Mu
Nama Mu yang sempurna
Kuharap dan kuberdoa
Semoga dapat bersua denganmu
Tiada kata yang dapat ku gambarkan

Perasaan yang ku alami
Cinta ku ini tiada berbelah bagi
Cinta yang suci dan abadi
Apakah aku diterima

Atau kau kan membiarkan saja
Kerana ku berdosa
Jangan biarkan ku terhina
Ku merayu pada mu...

Sapa Lahir Bulan Julai..angkat tangan!! ^o^




Salam..hampir seminggu penulis tak sempat nak 'update'kan blog ni.. Tiba-tiba je penulis terasa ingin 'post' kan kajian mengenai bulan dan sikap yang telah dijalankan oleh Dr. Fadzilah Kamsah. Tapi penulis ingin postkan hanya untuk bulan Julai sahaja. Kenapa ye?? Hmm..mungkin sebabnya penulis dilahirkan pada bulan Julai.. ;) Oklah, jom kita kenali sahabat-sahabat kita yang lahir bulan Julai. ^o^
JULAI
* Sangat suka didamping.
* Banyak berahsia dan sukar dimengerti terutamanya lelaki.
* Agak pendiam kecuali dirangsang.
* Ada harga dan maruah diri.
* Tak suka menyusahkan orang lain tapi tidak marah apabila disusahkan.
* Mudah dipujuk dan bercakap lurus.
* Sangat menjaga hati orang lain.
* Sangat peramah.
* Emosi sangat mendalam tapi mudah terluka hatinya.
* Berjiwa sentimental.
* Jarang berdendam.
* Mudah memaafkan tapi sukar melupakan.
* Tidak suka benda remeh-temeh.
*Membimbing cara fizikal dan mental.
* Sangat peka, mengambil berat dan mengasihi serta penyayang.
* Layanan yang serupa terhadap semua orang.
* Tinggi daya simpati.
* Pemerhatian yang tajam.
* Suka menilai orang lain melalui pemerhatian.
* Mudah dan rajin belajar.
* Suka muhasabah diri.
* Suka mengenangkan peristiwa atau kawan lama.
* Suka mendiamkan diri.
* Suka duduk di rumah.
* Suka tunggu kawan tapi tak cari kawan.
* Tidak agresif kecuali terpaksa.
* Lemah dari segi kesihatan perut.
* Mudah gemuk kalau tak kawal diet.
* Minta disayangi.
* Mudah terluka hati tapi lambat pulih.
* Terlalu mengambil berat.
* Rajin dalam membuat kerja

tak semestinya ciri2 tersebut ada 100% pada sahabat yang lahir bulan Julai, tapi boleh dibuat rujukan untuk kita lebih mengenali dan fahami sahabat kita.. ^o^

P/S : segala pujian hanya untuk Allah.. Dia yang menciptakan kita. Setiap manusia itu ada kebihan dan kekurangan dan kita haruslah saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.. :)

Sunday, August 10, 2008

Renungan Bersama...




MUNAJAT DI JALANNYA.. SATU SENJATA KEKUATAN..




Ilahi..
Sesunguhnya aku telah melalui jalan dakwah ini dengan thiqah dan ketenangan setelah Engkau terangkan kepadaku segala petunjuk. Aku telah mengenali bahawa inilah jua jalan Rasulullah, pemimpin kami yang tercinta yang berjalan bersama para sahabat baginda dengan iman, amal, mahabbah dan persaudaraan. Kami telah mengetahui bahawa jalan ini tidak ditaburi dengan bunga-bunga, tetapi dipenuhi oleh pelbagai perkara yang dibenci oleh hawa nafsu. Padanya ada duri dan onak, rintangan dan gangguan, ujian dan dugaan, mehnah dan tribulasi serta banyak lagi ujian yang tidak dipinta.

Namun...
Aku rela kerana inilah pilihanku sendiri, semata-mata aku taat setia padaMu dan ingin menghampirkan diri padaMu kerana menyahut seruanMu, berharap kepada redha dan syurgaMu. Sesungguhnya Engkau telah memanggil lalu aku menyahut seruanMu:

Ya Ilahi...
Kami telah mengetahui jalan ini jauh jarak perjalanannya. Dari itu bantulah kami yang berada di jalanMu ini. Jangan biarkan diri kami merasa keseorangan lalu berdiam diri dan kurang keyakinan padaMu untuk meneruskan perjuangan ini. Berikanlah kekuatan dan keyakinan kepada kami demi menghadapi situasi yang baru ini. Sesungguhnya padaMu sahaja Ya Rabbi, tempat untuk kami mengadu. Berikanlah bantuan kepada kami di dalam perjuangan ini.

Ya Rabbi...
Jangan sekali-kali Engkau biarkan kami meneruskan urusan kami tanpa panduan dariMu. Tanpa Nur hidayahMu, kami akkan sesat dan hilang arah tujuan. Sinarilah perjalanan perjuangan kami ini dengan limpahan rahmat dan kasih sayang dariMu. Engkaulah sebaik-baik sandaran dan tempat untuk membuat pengaduan..Ameen

Friday, August 8, 2008

PMI & DAKWAH… mulakannya dengan kasih sayang





’’.... nanti bila dapat masuk universiti, daftar PMI tau... ’’ teringat pesanan Kak Emiliana, naqibahku semasa di SHAMS yang dah hampir 5 tahun aku tinggalkan. Bila ingat semula, banyak kenangan yang aku dapat bersama PMIUPM selama hampir 5 tahun di kampus hijau ini. Bermula dengan usrah sewaktu diploma dengan Kak Norrahijahayu (Kak Ayu). Dari usrahlah aku mula mengenali PMIUPM kemudian terus bersama PMIUPM. Kak Ayu yang tak pernah jemu mengajar, mendidik aku. Dianggapnya aku seperti adiknya sendiri. Cara dakwahnya yang penuh kasih sayang membuatkan aku terasa ingin mengikut jejak langkahnya 1 hari nanti. Kak Ayu selalu pesan kepadaku, ’’... nanti Nad pun akan lalui apa yang akak buat sekarang. Nad pula yang akan bawa adik2 baru. Sampaikan dakwah dengan kasih sayang dan ikhlas kerana Allah...’’ ah! Kata-kata itu takkan aku lupa sampai bila-bila.

Kini aku pula menggalas amanah seperti yang pernah dibawa oleh Kak Ayu. Ya, amanah untuk berdakwah dan mendidik adik-adik yang baru mula mengenali alam kampus.. Banyak cabaran dan dugaan yang Allah berikan. Amanah ini tetap perlu diteruskan. Aku berusaha ingin menjadi seperti naqibah kesayanganku. Aku juga harap agar adik-adik ku ini sama2 merasai kasih sayang yang ingin dikongsi bersama. Moga Allah mempermudahkan urusanku dan sahabat-sahabat. Moga Allah buka dan lembutkan hati adik-adik kesayanganku ini.. Moga kelak mereka pula yang akan meneruskan perjuangan ini.. Ameen

Apa yang penting, IKHLASKAN NIAT KERANA ALLAH DAN MULAKAN DAKWAHMU DENGAN KASIH SAYANG.. PMIUPM sentiasa bersamamu.. :)


Bertemu cinta dalam halaqah,


Hidup lebih indah terarah,


Menyulam tautan hati kerana Allah,


Terpaterilah ikatan aqidah...


(Tautan Hati, Fatimah Syarha)

Thursday, August 7, 2008

PEJUANGKAH AKU??



Benar-benar ikhlaskah aku dalam agama Allah?
Lihat sahaja solatku..seringkali aku lewatkan..khusyuk?jauh sekali...
Kenapa?Terlalu sibukkah aku dengan urusan agama?atau terlalu sibukkah aku melayan karenah badan yang seringkali letih?

Benar-benar ikhlaskah aku dalam agama Allah?
Cukupkah masa 'study'ku dikurangkan setengah jam.muka sudah mencuka...
Cukupkah diminta memandu 4 kali pusingan, sudah mengeluh keletihan..
Cukupkah diminta ke program yang tidak langsung aku minat,
sudah membebel mulutku..
Inikah hakikat seorang pejuang?
AstaghfirullahalAzim...

Benar-benar ikhlaskah aku dalm agama Allah?
Dalam bicara penuh dengan lagha..
Penuh dengan umpatan..Penuh dengan cacian.
Dalam hati penuh dengan riyak, penuh dengan su'udzon, penuh dengan hasad?
Hati penuh dengan mazmumah, hati tidak mengingati Allah, hati mengingati perkara lagha?
Tubuh badan yang sengaja ditidurkan untuk mengelakkan tugasan?
AstaghfirullahalAzim...

Ya Rabbi..Ya Allah..Ya Rahman..YaRahim..
Ampunkan dosaku..Aku ingin jadi pejuangMu, namun seringkali aku melupakanMu..
Aku ingin mewakafkan diriku untuk agamaMu,
namun tak sepenuhnya tuntutanMu kuturuti..
Ampunkan dosaku yang menggunung ya Rabbi..Ku hanyalah hambaMu yang hina..Engkaulah sebaik-baikdan selayak-layak penerima pujian..
Segala pujian hanya untukMu Ya Rahim..
Kuatkanlah keyakinanku kepada janjiMu..letakkanlah dalam hati ku kecintaan terhadapMu..letakkanlah dalam hatiku kemanisan beramal dengan sunah RasulMu..letakkanlah hatiku keindahan tawakkal kepadaMu ya Rabbi...

Tuesday, August 5, 2008

Tips Kuatkan Ingatan...

Untuk kuatkan ingatan, amalkan seperti berikut..

1)DOA apa sahaja pun boleh asalkan maksudnya jelas. Berdoa sebaiknya di malam hari sebelum subuh. Elok sebelum doa, bertaubat dulu..

2)JANGAN TIDUR lepas subuh dan lepas asar

3)TINGGALKAN MAKSIAT, ikut pesananGuru kepada Imam Syafie, kalau hendak mudah menghafal, hendaklah kamu meninggalkan maksiat

4)MENGAWAL TEKANAN-tekanan hanya akan membuat jiwa tidak tenteram dan menyebabkan kesihatan terganggu

5)MEMBACA AL-QURAN-amalkan membaca Al-Quran walau sehelai muka sehari. Membaca Al-Quran dapat menerang jiwa, menenangkan perasaan dan menajamkan daya ingatan dengan lebih baik..

MAANNAJAH FIL IMTIHAN..=)

Friday, August 1, 2008

Diantara dua tangisan...

AIR MATA ada kalanya penyubur hati, penawar duka dan ada kalanya ia menjadi buih kekecewaan yang menghimpit perasaan dan kehidupan ini. Air mata seorang manusia hanyalah umpama air kotor yang berlimpahan. Namun setitis air mata kerana takut kepada ALLAH SWT persis perata indah yang bergemerlapan terpancar dari segala arah dan penjuru. Penghuni syurga ialah mereka yang banyak mencucurkan air mata demi ALLAH SWT dan RasulNya, bukan semata-mata kerana harta dan kedudukan serta hal duniawi. Pencinta dunia menangis kerana dunia yang hilang. Perindu akhirat pula menangis kerana dunia yang datang. Alangkah sempitnya kuburku, keluh seorang batil… alangkah sedikitnya hartaku, kesal si hartawan (pemuja dunia). Dari mata yang mengintai setiap kemewahan yang mulus penuh rakus, mengalirlah air kecewa kegagalan. Dari mata yang redup merenung akhirat yang dirasakan dekat, mengalirlah air mata keinsafan mengharap kemenangan serta rindu akan RasulNya.

“Penghuni syurga itulah orang-orang yang menang.” (al-Hasr:20) Tangis adalah basahan hidup. Justeru, hidup dimulakan dengan tangis, dicela oleh tangis dan diakhiri dengan tangis.. Manusia sentiasa dalam dua tangisan. Sabda Rasulullah SAW, “Ada titis yang ALLAH SWT cintai, pertama titisan darah para syuhada dan titisan air mata yang jatuh kerana takutkan ALLAH SWT.” Nabi Muhammad SAW bersabda lagi, “Tangisan seorang pendosa lebih ALLAH kasihi daripada tasbih para wali.” Oleh itu, berhati-hatilah dalam tangisan, kerana ada tangisan yang membawa bahagia untuk selamanya. Seorang pendosa yang menangis kerana dosanya adalah lebih baik daripada seorang ‘abid. Nabi Muhammad SAW bersabda, “Kejahatan yang diiringi oleh rasa sedih, lebih ALLAH sukai dari satu kebaikan yang menimbulkan rasa takbur.” Ketawa yang berlebihan tanda lalai dan kejahilan. Ketawa seorang ulama’ dunia hilang ilmu, hilang wibawanya. Ketawa seorang jahil, semakin keras hati dan perasaannya. Nabi Muhammad SAW bersabda “Jika kamu tahu apa yang aku tahu nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa.” Seseorang Hukama pernah bersyair, “Aku hairan dan terperanjat melihat orang ketawa kerana perkara-perkara yang akan menyusahkan, lebih banyak daripada perkara yang menyenangkan.” Salafussoleh menangis walaupun banyak beramal, bimbang tidak diterima ibadatnya, kita ketawa walaupun sedar kita kosong daripada amalan. Lupakah kita? Sabda Nabi SAW, “Siapa yang berbuat dosa dalam ketawa akan dicampakkan ke neraka dalam keadaan menangis.” Kita gembira jika apa-apa yang kita idamkan tercapai. Kita menangis kalau apa yang kita cita-citakan terabai. Nikmat disambut ria, kedukaan menjemput duka.
Namun ALLAH SWT telah berfirman, “Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. ALLAH SWT mengetahui sedangkan kamu tidak.” (al-Baqarah:216) Menangislah wahai diri, agar senyumanmu banyak dikemudian hari kerana engkau belum tahu nasibmu dihisab kanan atau hisab kiri. Di sana, lembaran sejarahmu dibuka satu persatu, meyemarakkan rasa malu berabad-abad lamanya bergantung kepada syafa’at Rasulullah SWT yang dikasihi Tuhan. Kenangilah sungai-sungai yang mengalir itu banjiran air mata Nabi Adam yang menagis bertaubat, maka suburlah dan sejahteralah bumi kerana terangkatnya taubat. Menagislah seperti Saidina Umar yang selalu memukul dirinya dengan berkata, “Kalau semua masuk ke dalam syurga kecuali seorang, aku takut akulah orang itu. “Menangis Ummu Sulaim apabila ditanya, “Kenapa engkau menangis?” Jawabnya, “Aku tidak mempunyai anak lagi untuk ku kirimkan ke medan perang.” Menangislah seperti Ghazwan yang tidak sengaja terpandang wanita rupawan. Diharamkan matanya memandang langit seumur hidup, lalu berkata, “Engkau mencari kesusahan dengan pandangan itu.” Ibnu Mas’ud r.a berkata, “Seseorang yang mengerti al-Quran dikenali waktu malam ketika orang lain tidur , dan waktu siangnya ketika orang lain tidak berpuasa, sedihnya diwaktu orang lain ketawa. Diamnya di waktu orang lain berbicara, khusyuknya di waktu orang lain berbangga, seharusnya orang yang mengerti al-Quran itu tenang, lunak dan tidak boleh menjadi seorang yang keras, kejam, lalai bersuara keras dan marah.” Tanyakan kepada orang-orang yang soleh mengapa tidak berhibur. “Bagaimana hendak bergembira sedangkan mati itu di belakang kami, kubur dihadapan kami dan perhentian kami ialah ALLAH SWT”

sumber :iluvislam.com